January 18, 2010

HSBB sedia dilancar suku pertama

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Telekom Malaysia Bhd. (TM) telah bersedia untuk melancarkan secara komersial projek jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) nya pada akhir suku pertama tahun ini.

TM dalam kenyataannya di sini berkata, kerja-kerja pembangunan infrastruktur sedang berjalan lancar dan kini melewati lingkaran dalam Lembah Klang ke Putrajaya dan rantau ekonomi selatan Iskandar Malaysia, terutamanya di Nusajaya.

TM berkata, ia telahpun menyudahkan 100 peratus kerja-kerja di empat ibu sawat yang merangkumi Taman Tun Dr Ismail, Subang Jaya, Shah Alam dan Bangsar.

"Keempat-empat kawasan ini adalah kawasan sasaran bagi perkhidmatan peringkat awal dan TM kini sedang melaksanakan rangkaian HSBB di Nusajaya dan Putrajaya.

"Pada akhir 31 Disember tahun lepas, TM telah memasang infrastruktur untuk 152,000 premis," katanya.

Projek HSBB yang bernilai RM11.3 bilion, dimeterai pada September 2008, ialah usaha sama awam-swasta antara TM dan kerajaan untuk membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi generasi akan datang untuk negara.

Menjelang akhir 2012, kira- kira 1.3 juta premis seluruh negara akan mendapat akses perkhidmatan HSBB.

Kawasan-kawasan di seluruh negara ini, yang dikenal pasti sebagai Zon 1, termasuk Lingkaran Dalam Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan kawasan industri penting negara.

TM menyumbangkan sebanyak RM8.9 bilion sementara kerajaan pula RM2.4 bilion mengikut tuntutan berdasarkan pencapaian projek oleh TM.

Syarikat telekomunikasi itu berkata, jumlah perbelanjaan modal TM berkaitan projek HSBB setakat 31 Disember 2009 telah mencapai RM1.9 bilion - merangkumi akses sambung akhir, perlaksanaan IP teras dan penambahan kapasiti rangkaian antarabangsa. - Bernama

Sumber
Utusan Malaysia



No comments:

Post a Comment