April 19, 2009

FINAL PIALA FA : SELANGOR VS KELANTAN

TANDUKAN ketua pasukan, Amri Yahyah pada minit ke-90 membawa Selangor ke perlawanan akhir Piala FA menerusi kemenangan 2-1 ke atas Perlis pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selangor mara dengan agregat 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Kangar, 7 April lalu.

Beraksi di hadapan 30,000 penyokong sendiri, Selangor bermula garang menerusi dua percubaan berbahaya daripada Safee Sali pada minit ketujuh dan ke-11, namun kedua-duanya tidak menepati sasaran.

Usaha tuan rumah untuk mencari gol pembukaan berhasil pada minit ke-15 menerusi tandukan Amri, menyempurnakan hantaran Rudie Ramli dari sebelah kanan untuk menewaskan penjaga gol Perlis, Farizal Marlias.

Perlis bagaimanapun hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan leret Azi Shahril Azmi dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Selepas itu, Selangor terus garang dan hampir mendahului pada minit ke-32 tetapi sepakan percuma D. Surendran dari jarak 25 meter berjaya ditepis keluar Farizal menjadikan kedudukan 1-1 kekal sehingga waktu rehat.

Baru seminit babak kedua bersambung, Selangor memiliki peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi percubaan daripada Safee terkena tiang gol.

Aksi panas bermula pada minit ke-73 setelah penyerang Perlis, Nizaruddin Yusof dengan sengaja melanggar Hamsani tetapi bekas pemain kebangsaan itu hanya dilayangkan kad kuning.

Selangor terus mengasak namun usaha mereka terus menemui kegagalan setelah tandukan Safee pada minit ke-76 diselamatkan Farizal manakala tandukan Rudie pada minit ke-78 sedikit tersasar.

Malam gemilang Selangor itu hadir ketika permainan memasuki dua minit masa kecederaan.

Ia berpunca daripada sepakan percuma D. Surendran yang berjaya ditanduk masuk Amri untuk gol kemenangan Selangor.

Dua gol Amri itu membolehkan dia dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan separuh akhir kedua itu.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menyaksikan Kelantan mencatat sejarah tersendiri selepas menempah tempat ke perlawanan akhir.

Skuad Wira Merah itu menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan untuk mejadikan agregat 2-2.

Namun, Kelantan mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Pada aksi pertama di Kota Bharu minggu lalu, Kelantan tewas 0-1.

Begitupun, tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd. Asyraf Al-Japri yang menyudahkan hantaran Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit kelima.

Namun, Kelantan bangkit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Norfarhan Mohammad pada minit ke-48 sebelum Indra Putra Mahayuddin meledak gol kemenangan pada minit ke-52 sekali gus mengesahkan tempat mereka ke akhir pada 25 April ini.

Sumber : Kosmo!Online

No comments:

Post a Comment