March 29, 2009

Button lakar sejarah Brawn GP


MELBOURNE - Jenson Button berjaya mengungguli sesi kelayakan perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Australia 2009 di Litar Albert Park di sini semalam, sekali gus memberikannya kedudukan petak hadapan pada perlumbaan sebenar hari ini.

Kejayaan Button itu menyaksikan pasukannya, Brawn GP mencipta sejarah tersendiri muncul pasukan pertama berjaya memperoleh petak utama pada penyertaan sulung dalam perlumbaan F1 selepas tempoh 39 tahun.

Sebelum ini, pasukan terakhir yang berjaya memperoleh petak utama pada penyertaan sulung dalam F1 adalah pasukan Tyrrell yang melakukannya pada GP Kanada 1970.

Kem Brawn GP terus berpesta apabila rakan sepasukan Button, Rubens Barrichello mencatat masa kedua terpantas, sekali gus menyaksikan dia akan bermula di petak kedua hari ini.

Terdahulu, Button mencatat masa 1 minit dan 26.202 saat untuk mengatasi Barrichello dengan kelebihan 0.303s.

Kejayaan merangkul petak utama itu merupakan kali keempat sepanjang karier Button dan yang pertama dicapainya sejak menduduki petak utama pada GP Australia 2006.

"Harap kali ini ia lebih baik dari- pada perlumbaan 2006 itu," kata Button yang sekadar menduduki tempat kesepuluh pada perlumbaan tersebut akibat kerosakan enjin yang berlaku di penghujung perlumbaan.

Kejayaan luar biasa itu pasti membuatkan pasukan asal Brawn GP iaitu Honda tersentak seketika.

Pembuat kenderaan dari Jepun itu menarik diri dari- pada F1 musim ini atas alasan kewangan sehingga menyebabkan masa depan Button dan Barri- chello seakan-akan kabur sehingga- lah Ross Brawn bersetuju mengambil alih pasukan tersebut.

"Daripada tidak dapat memandu dan tiada masa depan menyertai perlumbaan, kejayaan menduduki petak utama ini sesuatu yang menakjubkan.

"Ia suatu detik yang paling indah buat diri saya ketika ini.

"Walaupun bukannya sesuatu yang penting apabila belum lagi meraih kemenangan tetapi ia tetap permulaan yang baik," kata Button.

Sementara itu, pemandu Red Bull, Sebastian Vettel menjadi pelumba ketiga terpantas diikuti pemandu BMW Sauber, Robert Kubica dan Nico Rosberg dari Williams.

Pemandu Ferrari, Felipe Massa pula akan bermula dari petak keenam hari ini di hadapan rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen yang sekadar menduduki tempat ketujuh. - AP

Kosmo!Online

No comments:

Post a Comment